Rasuah: ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’


Rasuah: ‘Harapkan pagar, pagar makan padi’

SPRM MACCDua pengumuman ini berlaku secara kebetulan dan serentak pada pagi semalam. Sementara pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan yang undang-undang rasuah akan diperketatkan untuk bertindak dengan lebih tegas ke atas pesalah rasuah, Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang pula berkata, “kalau ada kelompong (dalam Akta SPRM), ia wajar dikaji dan dibawa ke Parlimen, perlu dipinda.”
“Tanggungjawab kita membuat satu laporan khas mengikut akta tersebut, dan kami semua telah berunding, dan telah disembahkan kepada Perdana Menteri dan dibentangkan di Dewan Rakyat (pada 26 November) dan Dewan Negara (4 Disember).”
“Tentu sekali. apa yang kita sebutkan itu ada sebab-sebabnya. Laporan (Tahunan JKMR) dibuat secara terperinci dan komprehensif,” kata Abu Zahar. di Kuala Lumpur. JKMR merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Abu Zahar yang juga Yang Dipertua Dewan Negara seterusnya memberitahu wartawan di bangunan Parlimen bahawa “… mungkin wajar diwujudkan undang-undang yang baharu.”
Perdana Menteri dipetik Bernama menegaskan “banyak lagi penyakit yang ada di kalangan rakyat kita yang perlu kita beri perhatian serius dan saya minta tindakan yang lebih tegas untuk banteras perkara-perkara seperti ini, termasuk mereka yang memberi (rasuah).”
Najib turut menyentuh mengenai sumbangan kepada parti-parti politik juga mesti ada peraturan tertentu. Jelas Perdana Menteri, beliau akan meminta kerjasama parti-parti politik termasuk daripada pembangkang supaya wujud pendirian bersama dalam soal pemberian kepada parti politik dan sebagainya.
Kedua-dua pendirian ini dizahirkan sehari sebelum dunia termasuk Malaysia menyambut kedatangan Hari Antirasuah Antarabangsa 2014.
Dalam Laporan Tahunan 2012, JKMR menyeru kerajaan bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menangani masalah rasuah yang berbentuk ketirisan dan ketidakpatuhan sistem dan prosedur oleh penjawat awam sepertimana pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). Selaras dengan peruntukan Akta SPRM 2009, SPRM hanya akan mengambil tindakan ke atas kes-kes yang ada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta pemalsuan.
Justeru, JKMR menekankan bahawa perlunya undang-undang ‘misconduct in public office’ diwujudkan segera bagi mendakwa individu-individu yang terlibat dalam salah laku awam dan ketidakpatuhan sistem dan prosedur ke mahkamah kerana melibatkan kerugian yang besar kepada negara dan memberi imej yang buruk kepada perkhidmatan awam.
Selain itu, JKMR turut menggesa pindaan terhadap Seksyen 23 Akta SPRM 2009 disegerakan bagi memastikan anggota pentadbiran dan penjawat awam di peringkat nasional dan negeri tidak memanipulasi sebarang kelemahan yang terdapat dalam peruntukan undang-undang, terutama melibatkan pemberian tender, kontrak, tanah dan projek-projek kerajaan. Ini kerana peruntukan seksyen ini telah menampakkan kelemahan yang mana seseorang anggota pentadbiran hanya perlu mengisytiharkan kepentingan dan seterusnya tidak mengambil bahagian dalam membuat keputusan.
Turut dicadangkan pindaan Seksyen 36 Akta SPRM 2009, yang menjadi salah satu kekangan kepada SPRM untuk terus menyiasat pemilikan kewangan dan harta seseorang individu yang memiliki harta kekayaan berlebihan yang disyaki terlibat dalam rasuah. JKMR mencadangkan supaya seksyen ini dipinda bagi membolehkan SPRM terus menyiasat pemilikan kewangan dan harta seseorang yang disyaki terlibat dengan rasuah tanpa perlu adanya siasatan awal sebagaimana peruntukan undang-undang di Hong Kong.
Malah, JKMR juga memohon kerajaan mempercepatkan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah. Ini bagi memastikan SPRM dapat memilih pegawai-pegawai yang benar-benar kompeten dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang sejajar dengan pola jenayah rasuah kini yang bersifat terancang dan bersindiket. JKMR juga mencadangkan supaya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM tertakluk di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kebebasan dan ketelusan.
JKMR turut mencadangkan supaya kerajaan dapat menyegerakan peruntukan undang-undang yang melibatkan ‘political funding’.
Dalam Laporan Tahunan 2013, JKMR pula mencadangkan agar kerajaan mewajibkan tapisan SPRM sebagai salah satu kriteria pelantikan anggota pentadbiran dan Pengerusi GLC – pelantikan individu yang diragui integriti boleh menimbulkan persepsi kurang baik kepada masyarakat dan memberikan tanggapan negatif terhadap kerajaan.
Menurut JKMR, penubuhan entiti pemantau PDRM seperti mana Jawatankuasa Aduan SPRM sebagai ‘mekanisme check and balance’ bagi memantau keberkesanaan fungsi jabatan ini. Keanggotaan entiti pemantau ini hendaklah terdiri daripada individu-individu yang mempunyai tahap integriti yang tinggi, ilmu pengetahuan dan pengalaman yang luas dalam bidang perundangan, pentadbiran dan kepakaran-kepakaran profesional. Berhubung sindiket perjudian tanpa lesen dan gejala aktiviti maksiat, kerajaan wajar memikirkan satu pindaan undang-undang yang baharu untuk membanteras kedua-dua gejala itu.
Cadangan-cadangan ini turut ditekankan oleh satu lagi panel bebas SPRM, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).
SPRM menyambut baik pendirian kerajaan untuk meminda undang-undang dalam usaha memerangi rasuah dengan lebih berkesan. Pendirian kerajaan ini bertepatan dengan saranan SPRM dan badan bebas yang memantau SPRM, khususnya LPPR dan JKMR. SPRM yakin pindaan-pindaan ini jika menjadi kenyataan akan memberi ruang yang lebih menyeluruh untuk menangani rasuah. SPRM juga berharap semua pihak termasuk parti-parti politik akan memberi sokongan padu apabila cadangan pindaan itu dibawa ke Parlimen.
Salah cabaran utama dalam memerangi rasuah adalah masalah berkaitan persepsi. Di sebalik persepsi, setiap rakyat perlu melihat rasuah sebagai isu besar negara dan beban memerangi tidak sepatutnya diletakkan di bahu SPRM semata-mata.
SPRM tidak boleh melaksanakan tugas membanteras rasuah bersendirian. Suruhanjaya bebas ini memerlukan sokongan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama, fahaman anutan dan politik. Mereka hendaklah mendokong perjuangan membanteras rasuah bagi mewarisi bumi yang bersih daripada jenayah rasuah kepada generasi akan datang.
Justeru, pindaan-pindaan yang hendak dibawa dan akan dibawa sudah pasti akan memberi suntikan untuk memerangi rasuah dengan lebih berkesan. Misi memerangi rasuah berhadapan dengan situasi yang lebih mencabar. Pendekatan, strategi dan kerangka perundangan juga perlu diteliti semula.
SPRM yang dibentuk enam tahun lalu memerlukan pengemaskinian perundangan untuk memenuhi tuntutan dan harapan negara dan rakyat yang terus meningkat. Lebih-lebih bagi mencabut ‘pagar yang makan padi’
.
Previous
Next Post »