Janda Baik: ‘Pencabulan’ terpinggir?
“Memang terperanjatlah, saya rasa benda tu semua tak betul lah. Sebab apa, setahu saya Kampung Janda Baik tidak ada tauke-tauke dari negara jiran datang berkebun ataupun mengupah orang daripada sini untuk buat besar-besaran. Saya minta Datuk Menteri datang ke Janda Baik, jumpa dengan dengan saya, dengan Jabatan Hutan, kita tengok betul ke tidak, jangan main tuduh-tuduh.”
Tersebut petikan daripada temu bual siaran berita sebuah stesyen televisyen dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berhubung dakwaan pembukaan dan penerokaan tanah secara haram yang dilaporkan semakin berleluasa di Janda Baik dan Bukit Tinggi.
Agak mengejutkan apabila temu bual yang mendapati Pengerusi JKKK itu tidak tahu-menahu mengenai kegiatan haram tersebut disiarkan, sedangkan telah banyak laporan akhbar yang menyatakan sebaliknya. Malah kesemua laporan akhbar juga mempunyai bukti temu bual dengan masyarakat setempat di Janda Baik dan Bukit Tinggi.
Isnin lalu, Persidangan Dewan Negara dimaklumkan bahawa dua kawasan di Pahang iaitu Janda Baik dan Bukit Tinggi turut diterokai secara haram akibat kelemahan penguatkuasaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika membuat pendedahan berkenaan berkata, penerokaan itu dilakukan oleh ‘tauke besar’ dari negara jiran dan orang luar yang mengupah buruh warga asing untuk menjalankan aktiviti pembukaan tanah.
Sehubungan itu, beliau menyarankan, model pelan tindakan jangka panjang untuk menyelamatkan Cameron Highlands daripada penerokaan tanah haram dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini wajar dikembangkan ke kedua-dua kawasan berkenaan dan di Lojing, Kelantan.
Berikutan pendedahan tersebut pelbagai pihak media membuat tinjauan ke kawasan-kawasan berkenaan. Antaranya adalah Utusan Malaysia yang turut menemu bual masyarakat setempat dan mendapati terdapat kawasan bukit yang telah ditarah dan diteroka untuk kegiatan pertanian termasuk di tepi jalan utama. Penerokaan tanah yang berleluasa itu juga dilapor menyebabkan aliran air sungai yang jernih kini bertukar menjadi keruh dan dipenuhi dengan kayu apabila hujan lebat.
Selain itu, akhbar tersebut juga menemu bual penduduk setempat yang mengakui berlakunya aktiviti haram penggondolan tanah seperti yang didakwa. Rata-rata, mereka melahirkan kebimbangan sekiranya kawasan tersebut yang semakin mendapat tempat di kalangan pelancong akan menerima nasib seperti Cameron Highlands yang sering mengalami bencana tanah runtuh dan dilanda banjir lumpur.
Lebih daripada itu, mereka risau akan keselamatan nyawa dan harta benda apabila keadaan semakin teruk dan sukar dibendung kelak.
Mereka percaya banjir lumpur yang melanda sesetengah kawasan di Janda Baik baru-baru ini sebagai bukti terdapatnya kegiatan penerokaan haram di hutan berhampiran. Ada di antara mereka yang telah lebih 20 tahun tinggal di situ, namun hanya sekarang ini kawasan tempat tinggal mereka dilanda banjir akibat daripada penerokaan haram berhampiran.
Malah ada di antara mereka yang mendakwa kegiatan penerokaan tanah di kawasan itu telah berlaku sejak sekian lama dan walaupun dikatakan pernah diperiksa oleh pihak berkuasa, aktiviti tersebut masih berlaku.
Sementara itu, akhbar Sinar Harian melaporkan seorang pemilik chalet memberitahu kejadian banjir baru-baru ini adalah yang paling buruk pernah dialaminya, setelah lebih tiga tahun chalet tersebut beroperasi.
Air bah dikatakan menghanyutkan lumpur yang tebal dan berlakunya kejadian tanah runtuh di sebuah jambatan berhampiran chaletnya. Tanah runtuh terbabit sekali gus mengakibatkan pengadang benteng sungai pecah selain turut mengakibatkan dinding konkrit di bawah jambatan terbabit roboh.
Menurut penduduk setempat lagi, kemungkinan penerokaan hutan berlaku di bahagian hulu mengakibatkan hujan lebat yang turun tidak sempat masuk ke kawasan tadahan air lantas membawa arus air yang deras dari bukit. Malah, dilaporkan terdapatnya tong-tong racun dan pokok-pokok yang dihanyutkan air membuktikan penerokaan masih dilakukan di kawasan berkenaan.
Terdahulu, terdapat juga laporan bahawa kira-kira 40 hektar hutan di kawasan Hutan Simpan Lentang, Janda Baik diteroka secara haram dan diusahakan sebagai projek pertanian. Kegiatan itu dikatakan dilakukan oleh sindiket yang mengupah warga asing untuk mengusahakan tanah berkenaan dengan pelbagai jenis tanaman seperti cili, halia, kacang botol dan sayur-sayuran. Sindiket terbabit juga dilaporkan sudah lama beroperasi di kawasan hutan simpan berkenaan kerana mereka memperoleh hasil daripada tanaman.
Telah banyak laporan yang memaparkan bukti keadaan banjir di Janda Baik dan di Bukit Tinggi, telah banyak juga temu bual yang disiarkan oleh pihak media cetak dan elektronik. Persoalannya bagaimanakah masih ada yang menyangkal dakwaan bahawa kawasan-kawasan terbabit diteroka secara haram?
Dalam hal ini, apakah bukti lebih kukuh diperlukan? Apa yang pasti, mungkin juga ada pihak-pihak yang tahu, ada yang tidak tahu atau ada pula yang pura-pura tidak tahu tentang berlakunya pencabulan haram terhadap tanah di Janda Baik dan Bukit Tinggi itu.
Masakan tiada angin, pokok akan bergoyang…
Sign up here with your email
1 comments:
Write commentsCasino Roll
ReplyHow to Play Slots · 경기도 출장샵 Slots. The object 구리 출장안마 of the game is to have a total of 4 수원 출장안마 or more of the 4 or more of 김뿡 얼굴 the 4 card suits. · Wilds. · Scatters. · Spades. · 수원 출장마사지 Hearts. · Jackpot.
ConversionConversion EmoticonEmoticon