Benarkah “Mat Saleh” lebih bijak?
Apakah mungkin suatu hari nanti Malaysia akan diterajui seorang Perdana Menteri “Mat Saleh”? Bayangkanlah jika ianya benar berlaku? Bagaimanakah “wajah-wajah” rakyat Malaysia?
Perlu diingat, “wajah-wajah” yang dimaksudkan merangkumi bahasa, budaya dan agama modal insan (generasi masa depan) negara ini. Mungkin itulah yang cuba dipersoalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kemungkinan negara ini mengimport seorang Perdana Menteri berkulit putih “kerana mereka lebih bijak daripada kita.”
Sama ada rakyat Malaysia akan menerima kata-kata mantan Perdana Menteri itu sebagai satu perkara yang wajar dianggap serius atau menganggapnya sebagai sindiran pedas, elok difikir akan kemungkinannya.
Ini kerana, ianya tidak mustahil!
Kemampuan rakyat Malaysia kini sudah terbukti. Selain bertugas sebagai profesional di negara-negara “Mat Saleh” sudah ramai rakyat Malaysia yang memegang jawatan tinggi di luar negara, malah ada yang pernah dilantik menjadi Datuk Bandar di England.
Jadi, jika rakyat negara ini sudah mampu berdiri sama tinggi di negara luar, maka tidak mustahil suatu hari mereka akan ‘memerintah’ kita, jika kita terus bergantung kepada mereka.
Jadi, sewajarnya Dr Mahathir khuatir akan kebarangkalian yang sukar diramal. Hakikatnya, biarlah kita contohi dan terima sesuatu yang baik, namun kenalah selalu beringat untuk memperbaiki diri supaya tidak terus menerus bergantung kepada pihak luar.
“Saya risau, jika kita tidak percayakan diri kita, suatu hari bila kita perlukan seorang Perdana Menteri, kita akan cari mereka ‘kerana mereka ‘lebih bijak’ daripada kita’,” kata Mahathir.
“Jika orang nak marah, tak mengapa, itu pendapat saya,” sambung beliau kepada pihak media di Putrajaya semalam.
Beliau yang yakin bahawa Malaysia mempunyai banyak bakat berkebolehan dan boleh digilap, menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap tidak percaya dengan kepakaran rakyat tempatan dalam pelantikan jawatan penting.
“Kita ada banyak ‘talent’ (bakat) dalam negara ini. Tapi nak panggil konsultan pun orang asing. Nak jadi ‘director’ (pengarah) pun orang asing,” katanya mengulas pelantikan Christoph R.Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo).
Dr Mahathir berkata kemakmuran negara yang dikecapi selepas kemerdekaan adalah hasil kepimpinan rakyat tempatan sendiri.
“Saya ingat orang Malaysia ini tidak bodoh. Pada zaman (penjajahan) British dulu, kita sebuah negara yang cukup kolot, miskin. Kita jadi kaya, kita dapat membangun selepas kita merdeka, dipimpin oleh orang Malaysia,” katanya.
Beliau, pada minggu lalu juga memberi reaksi balas mengenai keputusan Khazanah Nasional Berhad yang melantik warga Jerman itu sebagai CEO MAS, berkuat kuasa 1 Januari depan.
Sehubungan itu, beliau dilaporkan berkata, “Orang Malaysia ini bodoh, tidak tahu hendak uruskan syarikat penerbangan, sebab itu MAS rugi. Tidak hairan jika orang luar diberikan kepercayaan untuk menguruskan dan memulihkan semula syarikat penerbangan negara itu.
Jelas, reaksi yang ditonjolkan bekas pemimpin negara itu konsisten berdasarkan kata-kata yang diluahkannya pada minggu lalu dan hari ini. Gunakanlah akal, cubalah fikirkan maksud yang tersirat di sebalik kata-kata beliau. Bersangka baiklah terhadap kritikan beliau.
Tidak dinafikan bahawa kata-kata Mahathir itu menimbulkan kemarahan sesetengah pihak terutamanya masyarakat umum yang tidak tahu punca dan asbab Mahathir mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Usah dibiarkan diri dan akal bersangka buruk? Logikkah jika dikatakan seorang yang pernah memimpin negara ini selama 22 tahun itu mahu melihat rakyat dan negara ini hancur?
Beliau seorang yang waras dan berpendidikan, rakyat juga hendaklah menerima kenyataan dan kritikan Mahathir secara waras juga. Jika tidak ada hubung kait dengan isu-isu yang dibangkitkan, usah melenting tanpa sebab. Kata-kata itu bukanlah untuk kita!
Bagaimanapun, kita perlu sentiasa ingat bahawa negara ini pernah dijajah. Banyak pengorbanan dilakukan oleh para pemimpin lalu bagi membebaskan negara daripada penjajah sekali gus mencapai kemerdekaan.
Walau negara kita telah 57 tahun merdeka, hakikaktnya kita sudah kembali dijajah. Fikiran generasi kini sudah banyak dijajah akibat globalisasi, dunia tanpa sempadan. Gah dengan teknologi maklumat. Cukup-cukuplah minda yang dijajah, jangankan kedaulatan negara tergadai kelak.
Jadi, tidak hairanlah jika Mahathir menyuarakan kebimbangannya berhubung “orang putih” yang secara langsung patut dijadikan sebagai peringatan demi membela masa depan bangsa dan negara ini.
Tidak dapat dinafikan, pencapaian kebanyakan syarikat yang diterajui orang luar terutamanya “orang putih” memang memberangsangkan. Persoalannya, apakah kerana mereka benar-benar “lebih bijak”?
Atau adakah ia hanya mitos, yang mana hakikatnya, rakyat negara ini akan lebih akur apabila bekerja di bawah “orang putih” berbanding bangsa sendiri?
Tidak mustahil jika masih wujud rasa kekaguman (inferiority complex) terhadap orang putih, justeru orang kita terus akur lagak “tuan dengan hambanya.” Semestinya, keadaan begitu memudahkan sebarang pekerjaan dan urusan.
Pelantikan Christoph R.Mueller yang diumumkan Khazanah dalam penstrukturan semula MAS merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyediakan asas kukuh bagi kejayaan syarikat penerbangan nasional itu pada masa depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kenyataannya baru-baru ini berkata bahawa penting bagi negara ini mempunyai pakar terbaik yang memiliki kepakaran dan pengalaman untuk membantu memacu usaha penstrukturan semula, memimpin syarikat penerbangan mencatat keuntungan dan membimbing pengganti daripada rakyat Malaysia untuk mengambil alih kepimpinan syarikat penerbangan tersebut pada masa depan.
Jadi, usah melenting dengan Mahathir, jangan marah pada Najib dan jangan kita mudah melatah. Cermin-cermin diri sendiri dan lihat-lihatlah sekeliling terlebih dahulu.
Pastinya ada hikmah pada kekhuatiran Mahathir, ada sebab yang mempengaruhi Najib dan ada bukti yang meyakinkan Khazanah.
Sign up here with your email
1 comments:
Write commentsjual vimax capsul canada, vimax, pusat obat kuat, Obat Kuat pria, Obat Pembesar Penis, Pembesar Penis, Obat Vitalitas, Obat Vitalitas Pria, obat herbal, obat pelangsing, pelangsing badan, pelangsing herbal, alat pembesar penis, Obat pembesar payudara, Alat Pembesar Payudara, sex toys, alat bantu sex ,vagina toys, Vibrator, kesehatan, kondom, Obat Perangsang, Obat Perangsang Wanita, Celana Hernia Magnetik, Obat Hernia, Obat Penghilang Tatto, Selaput Dara Perawan
ReplyConversionConversion EmoticonEmoticon